Bila Waktu Paling Sesuai Untuk “Bersama” Suami Agar Cepat Mengandung?

Petua cepat mengandung

Jika sebelum ini kami di theAsianparent pernah membincangkan tentang berapa kerap anda perlu bersama pasangan untuk cepat hamil, hari ini kami akan bincang tentang bila waktu yang sesuai untuk bersenggama pula.

Ini kerana jika anda cuba untuk mengandung, ada masa-masa tertentu dalam kitaran haid yang akan meningkatkan peluang anda untuk cepat mengandung.

Anda yang ingin cepat mengandung harus bijak mengesan waktu subur untuk bersama suami agar peluang untuk hamil makin meningkat.

Waktu subur adalah waktu sebelum ovulasi. Ovulasi adalah waktu di mana ovari anda akan melepaskan telur matang untuk persenyawaan.

Sekiranya anda ingin hamil, inilah waktu paling penting untuk melakukan hubungan seks dengan pasangan.

Bila waktu terbaik untuk bersenggama agar cepat mengandung?

Sperma boleh bertahan selama beberapa hari dalam tubuh anda. Namun, sel telur pula hanya mampu bertahan paling maksimum selama 24 jam saja.

Jadi, waktu terbaik untuk melakukan hubungan seks agar anda cepat mengandung adalah pada beberapa hari sebelum ovulasi berlaku dan selepas ovulasi. 

Ini untuk membenarkan sperma yang aktif benar-benar berpeluang untuk “bersatu” dengan sel telur yang akan dilepaskan nanti.

Pasangan harus mula bersenggama 5 hari sebelum wanita melalui ovulasi dan sehari selepas ovulasi berlaku.

Anda dan pasangan sepatutnya melakukan seks setiap hari dalam tempoh waktu subur ini.

Kitaran haid setiap wanita 

Kitaran haid setiap wanita adalah berbeza-beza, maka waktu subur setiap wanita juga akan berlainan.

Waktu subur ini bergantung pada panjang dan berapa teratur kitaran haid anda.

Bagi wanita dengan kitaran haid sepanjang 28 hari, ovulasi biasanya berlaku pada hari ke-13 hingga 15.

Sebaik saja sel telur dikeluarkan, ia boleh bersenyawa dengan sperma dalam tempoh 12 hingga 24 jam saja.

Tanda-tanda anda subur dan boleh cepat mengandung

Cara paling senang untuk mencapai kehamilan adalah dengan menjadualkan hubungan seks anda dan pasangan.

Lakukan seks sebelum dan semasa ovulasi supaya sel telur dan sperma lebih mudah disenyawakan.

Berikut adalah tanda-tanda ovulasi agar anda tahu bila anda sepatutnya melakukan seks dengan pasangan:

#1 Keluar lendir dari serviks

Lendir yang keluar dari faraj biasanya akan rasa melekit. Tapi sebelum ovulasi, lendir itu akan cenderung lebih jernih dan licin seakan putih telur mentah.

#2 Ukur suhu badan anda

Mengukur suhu badan dengan menggunakan termometer BBT khas akan membantu usaha anda untuk cepat mengandung.

Ambil suhu badan setiap pagi. Biasanya, sebelum dan semasa ovulasi, suhu badan anda akan meningkat sebanyak 0.4 Fahrenheit (-17.5556 °C).

#3 Kit mengira ovulasi (OPK)

Alat yang boleh mengira ovulasi ini boleh diambil oleh anda untuk meramal bila anda akan berovulasi.

Ujian ini berfungsi dengan mengukur hormon luteinizing dalam badan. Apabila hormon ini meningkat, ovulasi akan berlaku dalam tempoh 12 hingga 48 jam akan datang.

#4 Tanda fizikal ovulasi

Tanda fizikal ini mungkin berbeza-beza, tapi anda akan mengalami rasa kejang di perut, payudara rasa menyucuk-nyucuk, dan kembung perut.

Jika anda menyesyaki masalah ketidaksuburan, segera dapatkan pandangan pakar.

Kami mendoakan agar usaha anda untuk cepat mengandung dan memperoleh cahaya mata dipermudahkan.

Selamat mencuba ibu bapa semua!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Sumber rujukan: Fertility Authority

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*