Nenek Mampu Besarkan 13 Orang Anak Sampai Berjaya, Tapi Waktu Nenek Sakit, Semua Nak Lepas Tangan. Lepas Nenek “Pergi”, Ada Sesuatu Yang Berlaku …

Assalamualaikum pembaca yang dihormati sekalian. Aku membuat luahan hati disini kerana teramat rindukan nenek ku yang meninggal dunia pada awal Januari 2018. Sayu hati terkenangkan penderitaannya ketika hayatnya. Maafkan aku jika penulisan ku tidak berapa baik. Ambil lah iktibar dan jadikan pengajaran/panduan dalam kehidupan.

Nenek ialah ibu kepada ayahku. Meninggal dunia di usia 72 tahun. Nenek, yang ketika hidupnya terlalu banyak dugaan Allah berikan. Nenek, yang ketika hidupnya amat disenangi dan disayangi orang sekeliling kerana dia seorang yang sangat pemurah, suka memasak, kelakar dan cantik. Ya, walaupun sudah tua, walaupun bermacam penyakit yang datang, nenek tetap cantik dimataku.

Nenek mempunyai anak seramai 13 orang (termasuk ayahku). Ayahku anak ke 2. Nenek dan atuk bercerai ketika usia telah senja, ketika anak-anak telah dewasa. Atuk gilakan perempuan muda dan mahu menikahi perempuan itu. Nenek tidak sanggup bermadu, lalu meminta cerai. Dalam masa yang sama, Mak Su ku (adik bongsu ayah) ketika itu sedang sakit. Sedih bila mendengar cerita ayah. Tidak dapat ku bayang apa yang nenek lalui ketika itu. Kehilangan suami yang dicintai, dan anak yang dikasihi sakit teruk. Kucar kacir hidupnya, tapi masih mampu menggembirakan orang lain. Insha Allah syurga untukmu nenek.

Nenek sakit, nenek ada banyak penyakit. Kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, kanser uterus, dah bermacam lagi sakit yang datang akibat komplikasi rawatan kanser. Berpuluh tahun nenek sakit. Ya Allah kasihan nenek. Maafkan cucumu ini kerana mencari rezeki jauh darimu. Tidak dapat menjaga dan menggembirakanmu.

Nenek menderita. Nenek ramai anak, tetapi anak-anak sering bergaduh tentang siapa yang akan menjaga nenek, menemani nenek ke hospital untuk check-up. 13 orang anak itu sering bergaduh sehingga tidak bertegur sapa berbulan lamanya. Bermaki hamun didalam whatsapp group hanya untuk menjaga seorang ibu. Nenek dijaga oleh pembantu dari Indonesia dan private nurse yang diupah oleh ayahku. Ayah pula terlalu sibuk dengan perniagaan nya.

Kasihan nenek. Nenek mampu menjaga 13 orang anak sehingga semuanya berjaya. Semua. Tidak ada seorang pun yang susah atau hidup dalam bersederhana. Semuanya mewah. Mak long kontraktor kelas A, ayah mempunyai firma arkitek sendiri, yang dibawah ayah, seorang Chartered Accountant, tidak lama lagi akan buka firma sendiri juga. Yang lain-lain, Engineer, Lawyer, Doctor. Tapi kenapa tidak ada seorang pun yang jaga nenek ketika nenek sakit, terlantar dihospital? Semuanya diserahkan kepada pembantu dan nurse. Bagaimana aku tahu walaupun aku jauh? Kerana aku rapat dengan pembantu Indonesia itu dan sering berwhatsapp bertanyakan kabar nenek.

Kasihan nenek, sering bertanyakan anak-anaknya. Sering bertanyakan ‘terlalu sibuk kah anak-anakku, sehingga tidak dapat melawat aku?’. Kasihan nenek, rindukan anak-anaknya. Mahukan perhatian anak-anaknya. Tapi yang diberikan hanyalah duit, duit, duit. Masing-masing hanya lepas tangan. Beranggapan dengan memberi duit, mereka sudah cukup berbakti.

Kasihan nenek. Selalu menangis kesakitan, sussah tidur malam, dan tidak berselera untuk makan. Hanya menangis dan menyebut nama anak-anaknya satu persatu. Menurut pembantu, setiap hari nenek akan meminta pembantu untuk membawa nenek ke pintu utama. Nenek akan duduk termenung disitu beberapa minit, dan kemudian meminta pembantu membawanya masuk kedalam bilik semula. Mungkinkah nenek menantikan kepulangan anak-anaknya?

Aku bersyukur kerana ketika nenek meninggal dunia, aku sedang bercuti di kampung. Aku berada disisi nenek ketika dia sedang nazak. Aku membisikkan kalimah Allah ke telinganya. Sungguh aku sayu. Sedih. Nenek pergi pada hari jumaat disisi 5 orang anak-anaknya dan beberapa orang cucu. Anak-anak yang lain masih diperantauan.

Aku lihat penyesalan di wajah ayahku, dan anak-anak nenek yang lain. Penyesalan yang teramat sangat. Mereka menangis seperti anak kecil. Ayahku tidak mampu menjejakkan kaki ke bilik nenekku. Pandang sahaja pintu bilik, pasti dia akan menangis. Dan aku terlihat Mak Su menangis di atas katil di mana nenek terlantar sambil memeluk baju terakhir yang nenek pakai. Aku tahu mereka sedih..tapi, kalau lah mereka tunjukkan kasih sayang yang sebegitu rupa ketika nenek masih hidup, pasti nenek bahagia. Semuanya sudah terlambat.

Aku yakin, Allah akan tempatkan nenek ke syurga. Kalian doakan nenek sekali ya. Semoga Allah ampuni segala dosa-dosanya.

I miss you nenek. Tenanglah disana…

Sumber :  Liyana

Jaga Ibu Bapa Sakit Tugas Anak Lelaki Atau Perempuan ? Ustazah Ini Ada Penjelasannya.

Perkongsian daripada Ustazah Noor Laila Aniza binti Zakaria melalui Facebook beliau.  Amat menarik dan boleh dijadikan panduan buat kita semua …

SIAPA YG WAJIB MENJAGA BILA IBU BAPA SAKIT ?

BISMILLAH…

Hukum berbuat baik anak2 terhadap ibu bapa samada ibu bapa kandung/mertua/angkat/tiri/susuan adalah terletak di atas bahu anak2 perempuan & anak2 lelaki.

Ada pun hukum menjaga ibu bapa yg sakit yakni ibu bapa kandung adalah terletak atas bahu anak2 perempuan dan anak2 lelaki.Tidak ada sesiapa yg terlepas sekalipun perempuan itu telah berkahwin,maka jika sakit,semua anak2 bertanggungjawab berbakti pada ibu ayah yg melahirkannya samada dia anak perempuan atau anak lelaki,telah berkahwin atau pun belum.

Bukan anak lelaki sahaja perlu dipertanggungjawabkan dan tidak benar anak perempuan terlepas dari menjaga ibu bapa yg sakit. Disebabkan anak lelaki sahaja yg disebut ‘wajib’ menjaga ibu ayah yg sakit,maka tugasan itu seterusnya diserahkan pula kepada menantu perempuan untuk menjaganya.Ini sama sekali tidak benar.

Seandainya yg sakit itu ialah ibu bapa kandung isteri,maka isteri berhajat menjaganya,suami tidak boleh menghalang,bahkan suami tersebut perlu sama membantu dan menyediakan kemudahan untuk sama2 menjaga.

Hal ini kerana apabila seorang perempuan berkahwin ,dirinya dan segala yg dibawanya adalah di bawah tanggungjawab suaminya termasuk nafkah ibu bapa isteri( jika mereka org susah/ perubatan) perlu ditanggung menantu lelaki tadi menurut kemampuannya.

Justeru tidaklah perlu dikhuatiri ibu bapa yg ada anak2 perempuan sahaja,maka anak2 perempuan tadi akan ikut suami lalu ibu bapa yg tua ini akan terabai.Kerana menantu lelaki tadi wajib bertanggungjawab penuh atas kedua ibu bapa isterinya.Di sinilah pembelaan Allah terhadap semua ibu bapa dan tidak terkecuali samada ia ibu bapa kandung atau pun ibu bapa mertua.

Setiap anak sama2 semua membantu tetapi bantuan itu tak semestinya sama.Ada yg terlebih senang,maka berilah lebih.Ada adik beradik yg susah ,jgn ditambah susah mereka.Begitu juga tugas menjaga ibu bapa yg sakit.Ada yg senang wang ringgit,tapi masa dan komitmennya tinggi,berjauhan,maka yg kurang komitmen atau berdekatan ibu ayah,bolehlah menjaga org tua yg sakit dan yg berjauhan tetap boleh menjenguk dan berbakti mengambil alih bila pulang bercuti/ dibawa ibu ayah tinggal bersama melihat kepada kesesuaian dan kesanggupan( ada ibu ayah yg x mahu tinggalkan rumah mereka )

Jika suami menghalang isteri menjaga ibu bapanya yg sakit,bermakna suami telah memerintahkan isteri berbuat maksiat yakni memutuskan hubungan ibu ayah dan anak dan hukumnya haram.Bahkan suami sendiri telah berbuat maksiat kerana tidak berbuat baik pada ibu bapa mertuanya.

Begitu juga isteri yg menghalang suami menjaga ibu bapanya yg sakit,maka hukumnya haram dan isteri tersebut berbuat dosa.

Ada pun untuk menantu perempuan,tidak diwajibkan menjaga ibu bapa suami yg sakit.Bahkan suami yg wajib menjaganya.Boleh berbincang dgn isteri jika dia mampu membantu dan beri upah kepada isteri menjaga ibu bapa yg sakit bagi pihak suami hatta jika isterinya suri rumah sekalipun.Upah ini dgn kata lain,duit lebih untuk isteri yg mana wajib diberikan upah jika suami memerintahkan isteri berbuat demikian melainkan isteri redho dan berlapang dada.

Atau jika suami mampu,maka sediakan pembantu meringankan tugasan isteri(saudara mara/ adik beradik yg lain sentiasa dtg membantu juga dikira sebagai pembantu).Jgnlah kita melabel menantu yg menolak menjaga ibu bapa mertuanya yg sakit adalah menantu yg tidak baik,tetapi inilah hukum asasnya di sisi Allah.

Adapun jika isteri tadi sedia menjaga menantunya yg sakit,maka pahala besar buatnya di atas kesabarannya yg tinggi.Jgn pula dimarah2 isteri jika dia penat,dan jangan pula diarah itu ini ,diherdik sesuka hati dan terus meletakkan isteri tadi dalam tekanan emosi.Justeru berlemah lembutlah dgn isteri,lihatlah kemampuan isteri,bertanyalah kesediaanya dgn penuh hikmah ,sediakanlah segala keperluan ,jgnlah berkira dgnnya dan hargailah bantuannya.Janganlah hanya tahu memerintah isteri sedangkan perintah itu membebankan tanpa ada sifat belas dan tolak ansur.Begitu juga dgn anak2 perempuan yg lain wajib sama2 turut serta menjaga ibu kandung yg sakit.

Adalah sgt pelik untuk kita tidak mahu menjaga ibu bapa kita yg telah tua apatah lagi jika mereka sakit.Amatlah pelik juga jika ada suami yg menghalang untuk isteri memberi belanja kepada ibu bapa isteri dgn alasan duit itu perlu disimpan untuk bantu suami.Atau suami yg kedekut dgn ibu bapa mertuanya dan berkira2 menjaga ketika ibu bapa mertua itu sakit.

Kerana hiraki membezakan ibu bapa kandung & ibu bapa mertua ini ( tanpa dalil yg sahih dari Quran/ Nabi ), kita telah menjadi pecah belah & bertelagah,berkira2,cemburu serta meragut sifat kasih syg mukmin yg sebenar.

#Semuanya bergantung kepada muafakat & jgnlah kita berbuat hukum bukan2 kerana adat & tradisi & jgnlah kita mudah melabel seseorang itu salah

# Apabila kita diuji dgn menjaga ibu bapa yg sakit perlulah persiapan mental dan emosi yg rapi, keperluan2 dan tempat tidur yg selesa.Jangan sekadar mahu menjaga,tetapi keselesaan tidak diberi ,malah setiap hari pelbagai hamburan kita keluarkan kepada ibu & bapa yg sakit

#kupasan perbincangan ini panjang.Perlulah berguru dan faham sehabis baik dan jgn sebarkan hanya dengan sepatah dua penerangan.

Sumber : FB Ustazah Noor Laila Aniza Binti Zakaria

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*