“52 Hari Yang Cukup Bermakna” – Isteri Tabah Ini Kongsi Kesedihan Kehilangan Insan Tersayang Buat Selamanya

PETALING JAYA: Tanggal 2 Februari 2018 merupakan hari bahagia buat seorang wanita yang bukan saja bergelar isteri, bahkan menjadi ibu kepada dua anak perempuan hasil perkahwinan suami dengan isteri terdahulu.

Namun jodoh dan ajal di tangan Tuhan, momen indah Nor Hanem Senan, 30, diakhiri dengan tragedi apabila kereta yang dinaiki empat beranak itu terbabit dalam kemalangan ngeri dengan sebuah lori kontena di Bakri, Muar di Johor, 27 Mac lalu.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 11 malam itu, suaminya, Shahrill Muhammad, 36, dan anak kedua, Arissa Rania, 8, maut di tempat kejadian.

 

Kereta yang dinaiki empat beranak terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena.

Nor Hanem pula kritikal dan dirawat di hospital selama beberapa hari, dan pada Isnin, sehari selepas dia dibenarkan keluar wad, seorang lagi anaknya, Marissa Damia, 9, pula menghadap Ilahi.

Begitu besar dugaan yang dihadapi pengusaha butik pengantin ini, dan dia cuba menghilangkan kedukaan itu dengan meluahkan perasaan di laman sosial Facebook.

I minta maaf sebab tak dapat jaga you di sana, cuma mampu titipkan doa dan amalan buat you. I minta maaf sebab malam kemalangan tak dapat selamatkan you.

“Sedih sangat sayang, pilu… semua kejadian di depan mata, you pergi pun di sebelah II tak pengsan, I sedar. Allahuakbar, cuma mampu menangis dalam hati.

“Ada hikmah kita suruh anak-anak tidur kerana mereka tak saksikan betapa ngerinya kemalangan yang terjadi. Sayang, I harap you bahagia di sana, harap sangat Mia, Caca (panggilan anak-anak) boleh bawa you ke syurga Allah yang indah,” katanya menerusi beberapa posting yang menjadi tular.


Nor Hanem, suami dan anak-anak pada majlis perkahwinannya, Februari lalu.

Nor Hanem ketika dihubungi mStar Online berkata, kemalangan berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari rumah mertua di Tanjung Agas ke rumah keluarganya di Air Hitam, Muar.

Akibat kemalangan itu, katanya, dia mengalami patah tujuh tulang rusuk, kecederaan hati (tahap empat), limpa (tahap dua) dan paru-paru serta jangkitan pada mata kanan.

“Saya dinasihatkan untuk berehat selama beberapa bulan, mungkin tiga sehingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya,” kata anak ketiga daripada lima beradik ini.

Katanya, perkongsian secara terbuka di laman sosial kerana mahu meluahkan perasaan yang terbuku di hati sejak tragedi itu.

Dipinjamkan suami dan anak-anak tiri yang dianggap sebagai anak sendiri, Nor Hanem reda dengan apa yang berlaku dan menganggapnya sebagai ketentuan Allah.

Walaupun sekejap tapi cukup bermakna, itu yang dirasai wanita ini yang tidak putus-putus bersyukur kerana diberi peluang mengecapi bahagia menerusi perkahwinan kali kedua buat dirinya dan arwah suami.

“Saya tidak terkilan dengan apa yang dah berlaku. Selama 52 hari saya disatukan bersama suami dan anak-anaknya, tetapi ia cukup memberi kesan dalam hidup saya.

“Arwah suami dan anak-anak cukup baik, periang dan banyak memberi sokongan. Mereka menjadi ‘jiwa’ dalam hidup saya.

“Saya berharap kenangan manis ini dapat memberi kekuatan dan semangat untuk terus menjalani kehidupan, tanpa melupakan segala kebahagiaan kami bersama,” katanya.


Video terakhir Nor Hanem bersama suami.

Baca Lagi >>>

“Tipulah Kalau Tak Sedih Perginya Dua Nyawa Saya” – Ibu Kandung

PETALING JAYA: Kisah seorang wanita meluahkan perasaan di laman Facebook selepas terbabit dalam kemalangan ngeri sehingga meragut nyawa suami dan dua anak tirinya mengundang pelbagai reaksi netizen.

Walaupun sekadar 52 hari, Nor Hanem Senan, 30, bersyukur kerana diberikan peluang hidup bersama tiga insan tersayang itu yang kini telah menghadap Ilahi.

Sementara itu, ‘Amika Zulkifle’, ibu kandung kepada Allahyarham Marissa Damia, 9, dan Arissa Rania, 8, pula tampil menyuarakan apa yang terbuku dalam hatinya.

“Sebagai manusia, tipu kalau saya tak sedih dengan pemergian dua bidadari, nyawa dan jiwa saya. Bukan sekadar anak, malah ibarat rakan serumah, tempat berbual, mengadu, untuk saya curahkan semua yang saya ada,” katanya menerusi posting di akaun Facebooknya, Rabu.

Kereta yang dinaiki bekas suami dan dua anak perempuannya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena.

Dalam kejadian pada 27 Mac lalu, kereta yang dinaiki bekas suaminya, Shahrill Muhammad, 36, bersama isteri yang baru dikahwini pada Februari, serta dua anaknya terbabit dalam kemalangan ngeri dengan sebuah lori kontena di Bakri, Muar di Johor.

Anak keduanya, Arissa dan bekas suami meninggal dunia di tempat kejadian manakala Marissa menghembuskan nafas terakhir pada Isnin selepas bertarung nyawa selama hampir seminggu.

Menggelarkan dua anaknya dengan panggilan Mia dan Caca, wanita itu menyifatkan kedua-duanya manja, periang dan kelakar.

“Setiap hari sebelum tidur mesti nak kena bacakan buku cerita. Mandi pun macam tu, pun nak ibu mandikan. Buat kerja sekolah pun nak ibu duduk depan mata.

“Kadang-kadang saya selalu marah mereka sebab manja sangat. Saya selalu cakap nanti kalau ibu tak ada, siapa nak manjakan macam ni,” katanya.

 

Tragedi ngeri 27 Mac lalu meragut nyawa bekas suami dan dua anak perempuannya.

Namun kata Amika Zulkifle, dia juga manusia biasa yang lemah, terutama apabila dua insan tersayang pergi buat selama-lamanya.

“Tapi memang dari dulu kalau saya sedih atau nak menangis, saya akan tunggu lepas mereka tidur. Saya tak nak mereka nampak sebab kalau saya menangis depan-depan nanti mereka akan nangis dan pujuk saya,” katanya.

Namun wanita itu bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga dan teman-teman yang rapat yang menjadi sumber kekuatannya dalam apa juga keadaan.

“Saya sendiri tak pernah terjangkau di akal bila tengok orang lain kehilangan, dan bila tiba giliran saya menerima dugaan berat ini… saya dapat bertahan.

“Doakan saya terus istiqamah menempuh hidup yang akan datang tanpa buah hati pengarang jantung. Al-Fatihah untuk Marissa Damia dan Arissa Rania,” katanya.

Pada Rabu, mStar Online melaporkan akibat kemalangan itu, Nor Hanem mengalami patah tujuh tulang rusuk, kecederaan hati (tahap empat), limpa (tahap dua) dan paru-paru serta jangkitan pada mata kanan.

Mengenai postingnya yang tular, katanya, perkongsian secara terbuka di laman sosial kerana mahu meluahkan perasaan yang terbuku di hati sejak tragedi itu.

Baca lebih lanjut di mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*